Ads Top

Disqus Shortname

Ahad, 29 November 2015

6 Gambar Menarik Taman Tema Bawah Tanah


Rantau bersejarah Transylvania, Romania, sudah lama dikaitkan dengan kisah si penghisap darah Dracula. Namun ada sesuatu yang mendahului Dracula iaitu perlombongan garam di kawasan itu sejak zaman Rom.

Salina Turda, antara lombong garam purba yang menakjubkan, kini berubah menjadi muzium dan pusat terapi garam dengan sentuhan moden.

Selain memelihara sejarah perlombongan, Salina Turda memiliki pelbagai keistimewaan yang tidak dijangka. Ia seolah-olah dalam filem James Bond yang menjadikan lombong garam sebagai sarang penjahat.

Sejak dibuka semula pada 1992, ia dijadikan taman tema bawah tanah. Pelawat boleh bermain golf di padang mini, boling dan biliard atau hanya bersantai di bilik rehat futuristik dan bernafas dalam aroma kemasinan garam yang banyak memberi manfaat kepada kesihatan. Menariknya, semua ini berada ratusan meter di bawah tanah.

Walaupun ahli arkeologi berjaya menemui bukti asal perlombongan pada zaman Empayar Rom (27 Sebelum Masihi hingga 76 Masihi) di situ, kisah yang kita lihat hari ini hasil daripada aktiviti pada tahun 1800-an.

Lombong itu berpecah ke beberapa bahagian dalam kawasan perlombongan itu sendiri. Antara yang paling dekat dengan permukaan bumi ialah Rudolf Mine yang boleh dikunjungi menggunakan lif panorama atau dengan hanya memanjat tangga.

Gua selebar 50 meter dan panjang 80 meter itu dibuka pada tahun 1868. Garam stalaktit membesar sehing­ga panjangnya tiga meter sebelum ia terpecah kerana berat garam itu sendiri lalu membentuk timbunan di sebelah gua yang luas.

Bahagian dalamannya pula kekal stabil dengan suhu 11 hingga 12 darjah Celsius dan 80 peratus kelembapan, membuatkan ia tiada sebarang alergen dan hampir tidak mengandungi sebarang bakteria, menghasilkan iklim mikro unik sebagai destinasi untuk mereka yang mengalami penyakit alahan pernafasan.

Muzium garam itu ada tiga bahagian lombong iaitu Terezia Mine yang wujud dalam bentuk kon luas dengan kedalaman sehingga 120 meter, diikuti Anton Mine pada 108 meter dan Rudolf Mine yang panjangnya 42 meter, disokong dengan pelbagai bilik dan dewan kecil yang digunakan ketika beroperasi.

Lombong itu bermula sejak 1690 ketika pertama kali dieksploitasi secara besar-besaran. Kawasan lombong ini cukup luas dan mempunyai rumah dan tasik dengan pulau di tengah-tengahnya.

Pulau ini terbentuk daripada sisa garam yang dibuang ke situ sejak 1880. Ia digunakan sebagai tempat perlindungan bawah tanah oleh penduduk tempatan bagi menyelamatkan diri dalam 39 hingga 45 peperangan.

Menariknya, pereka lombong rekreasi tidak mahu memusnahkan sejarah, sebaliknya mahu menandakan kejayaan mereka sendiri. Selain James Bond, kawasan lombong itu kini kelihatan seperti dari masa depan.

Dengan meminjam nilai estetik tertentu dari laut dalam, bahagian bawah lombong itu seolah-olah mempamerkan struktur makhluk asing yang diperbuat daripada kayu dan diterangi lampu gantung tiub.

PINTU masuk baru. - Foto Ana Maria Catalina

PENGUNJUNG meluangkan masa bermain ping pong

LALUAN terowong menuju ke dalam lombong garam. - Foto Cristian Bortes

SALINA Turda dengan kedalaman 121 meter.



PEMANDANGAN tasik garam seolah-olah dijelajahi kapal UFO. - Foto Gabriel Tocu

MENARIK kunjungan pelancong dari seluruh dunia
 terutama yang mengalami penyakit alahan pernafasan.
 - Foto Ungureanu Adrian Danut

Tiada ulasan:

Catat Ulasan