PEN TEKAN BLOG -> Penggemar roti di Pulau Pinang mungkin akan hilang selera jika mereka tahu dapur dan peralatan membuat makanan itu di beberapa kilang di negeri, teramat kotor.
Ini kerana, daripada 26 kilang roti yang diperiksa, enam daripadanya diarah tutup selama 14 hari kerana kotor dan tidak menepati tahap kebersihan ditetapkan.
Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Ku Nafishah Ku Ariffin berkata, daripada enam kilang roti yang diarah tutup itu, dua daripadanya terdapat najis tikus iaitu masing-masing di daerah Timur Laut (TL) dan Seberang Perai Utara (SPU).
"Pemeriksaan dilakukan semalam (kelmarin) meliputi kesemua daerah di negeri ini iaitu dua di TL, lapan di Barat Daya (BD), empat di SPU dan masing-masing enam di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).
"Daripada jumlah itu, sebuah kilang di TL yang terletak di Datuk Keramat diarah tutup, masing-masing dua di SPU dan SPS serta satu di SPT, manakala tiada premis diarah tutup di BD. Selain itu, sebanyak 13 notis dikeluarkan sepanjang operasi (kelmarin)," katanya, semalam.
PEN TEKAN BLOG -> http://pentekan.blogspot.com
Menurutnya, jumlah kompaun yang dikeluarkan pihaknya RM32,500, manakala Majlis Perbandaran Pulau Pinang (RM920) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (RM650).
"Sebelum ini, kita sudah beri notis bertulis kepada pemilik kilang roti berkenaan pada penghujung tahun lepas namun nampaknya, tiada tindakan susulan dibuat untuk memastikan premis mereka bersih. Saya juga dapati, pembersihan di premis berkenaan dibuat tidak konsisten menyebabkan premis mereka terutama di bahagian dapur sangat kotor.
"Antara kesalahan yang kita dapati di premis yang diarah tutup adalah terdapat najis tikus, makanan dihurung lalat, peralatan memasak kotor, peti sejuk yang menyimpan makanan berkulat dan kotor, roti yang sudah siap diletakkan di atas lantai berdekatan dengan tong sampah dan penyapu serta tepung yang sudah diuli diletakkan di atas kotak tanpa pelapik khas," katanya.
Ku Nafishah berkata, selain itu, ada juga premis menggaji pekerja yang tidak memakai pakaian ditetapkan.
"Antaranya tidak menutup kepala, tidak memakai apron dan memakai aksesori ketika menguli tepung. Kita turut temui segumpal rambut di dalam minyak yang digunakan untuk menguli tepung sebelum dijadikan roti.
"Mesin menguli tepung juga didapati sudah berkarat dan tidak diselenggara dengan baik," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan